14 Jun 2012, Kuala Lumpur – YM Datuk Haji Maiden Guru Utama dan Presiden PSSCM telah mengadakan perjumpaan dengan YM Mahaguru Tan Sri Omar Din Bin Mauju, Pengasas Persatuan Silat Lincah Malaysia bertempat di K Club, Taman Melawati di sini. Di dalam pertemuan tersebut, mereka telah berbincang secara panjang lebar mengenai masa depan dan pembangunan seni silat. Termasuk mengenai hala tuju silat dalam era transformasi dan peranan PESAKA serta agensi kerajaan bagi membantu memperkasakan seni silat.
YM Datuk Haji Maiden telah merakamkan ucapan tahniah dan berbanyak terima kasih kepada YM Mahaguru Tan Sri Omar Din di atas peranannya dalam membantu menaikkan imej seni silat ke arah yang lebih sempurna.
PSSCM telah menyerahkan surat penghargaan kepada YM Mahaguru Tan Sri Omar Din atas peranan dan jasanya bersama Kementerian Penerangan , Kebudayaan dan Komunikasi untuk memberi anugerah kepada Almarhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad, Pengasas PSSCM sebagai Tokoh Seni Bela Diri 2012 semasa Malam Hari Seniman di Tasik Titiwangsa pada 29 Mei 2012 yang lalu.
Turut hadir semasa pertemuan tersebut, Sdr. Rosman Bin Mat Deli, Ketua Penerangan PSSCM, Sdr. Roslim Bin Abdullah, Pegawai PSSCM dan Sdr. Karim Bin Said. Pertemuan mereka telah selesai pada jam 6.00 petang.
Sumber : Jabatan Penerangan PSSCM