Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan kehendakNya dan izinNya serta kurniaNya, dan dengan syafaat kekasihNya Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, dan dengan berkat guru-guru kita serta keramah dan hikmah kedua ibu bapa kita, maka dapat kita bertemu kembali bulan yang penuh rahmat dan keredhaan Allah swt iaitu bulan Ramadhan pada tahun ini.

Ketibaan bulan Ramadhan, maka umat Islam di seluruh pelusuk dunia serentak mengerjakan ibadah puasa. Pada amnya berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari serta tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Faedah diwajibkan kita berpuasa adalah terlalu banyak, samada kita ketahui atau tidak. Sudah pasti apa yang diperintahkan oleh Allah swt pasti ada kelebihannya kerana Allah swt itu Maha Mengetahui segala-galanya samaada di bumi atau di langit.

Antara kelebihan bulan Ramadhan ialah pintu syurga dibuka, ditutup pula pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan. Pada bulan ramadhan yang mulia ini telah berlakunya beberapa sejarah Islam dan di antaranya adalah turunnya al-Quran yang merupakan kitab teragung. Latar belakang kelahiran Silat Cekak berlaku dalam bulan penuh rahmat ini di mana Silat Cekak dilahirkan kembali ke alam nyata pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah bersamaan 28 Disember 1965.

Marilah kita bersama-sama menyerikan bulan Ramadhan ini dengan beribadat kepada Allah swt dengan amalan solat tarawih,  bertadarus (membaca al-Quran) dan memohon kepada Allah S.W.T agar dipertemukan Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dengan harapan dapat memberi kesatuan hati sesama bangsa dan sesama ahli khasnya. Laksanakanlah ibadah puasa ini bersungguh-sungguh dengan satu niat iaitu kerana Allah swt. Almarhum Ustaz Hj Hanafi pernah berpesan kepada kita; “Jangan jadikan ibadah sebagai adat”. Moga bulan Ramadhan sebagai tempat latihan diri kita untuk menambahkan ibadah kita dan ianya akan diteruskan kepada bulan-bulan yang lain.

Kesempatan ini, saya selaku Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia mengucapkan “Selamat melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan”. Perbanyakkanlah memohon keampunan dengan beristighfar kepada Allah swt agar Allah swt mengampunkan dosa-dosa kita serta dapat membersihkan hati kita. Setelah bersihnya hati kita, barulah Allah swt akan memasukkan Takwa dan Iman ke dalam hati kita.  Semoga dengan amalan berpuasa mewujudkan jiwa insan yang sentiasa taat, sabar, meningkatkan ketakwaan di samping menambah keimanan kepada Alllah S.W.T.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah. Assalamualaikum w.b.t.

DATUK HAJI MAIDEEN BIN KADIR SHAH
Guru Utama & Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia