Sinar Harian Edisi Terengganu, 26/9/2010

KUALA TERENGGANU – Kebanyakan seni silat cekak cawangan Terengganu yang berpengkalan di Jalan Sultan Omar, di sini, dikuasai golongan intelek.

Hampir seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini mempunyai ahli dan pusat latihan seni silat cekak sendiri.

Antara IPTA yang mempunyai pusat latihan seni silat cekak ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun; Institusi Pendidikan Guru kampus Dato’ Razali Ismail, Batu Rakit dan Politeknik Sultan Mizan Dungun.

Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Terengganu, Zabario Mohd Yasim berkata, beliau memberi fokus kepada penuntut IPTA agar ilmu diperoleh ketika bersama persatuan dapat diperkembangkan ke serata negara apabila mereka tamat pengajian nanti.

“Melalui seni silat ini, kami dapat membina jati diri kukuh dan bentuk insan berguna, cergas dan aktif.

“Kami menggalakkan golongan intelek turut serta menyertai seni silat ini agar ilmu diperoleh dapat dikembangkan di tempat kerja setelah tamat pengajian nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis sambutan hari raya Aidilfitri Persatuan Seni Silat Cekak bersama anak yatim di cawangan Seni Silat Cekak, di sini.

Menurutnya, meskipun golongan itu dialu-alukan, pihaknya tidak membelakangkan ahli lain kerana mereka terlibat akan menjalani latihan seimbang.

“Bagi kami, ahli berdaftar di bawah persatuan layak dilatih, sama ada mereka terdiri daripada golongan intelek atau tidak. Namun setakat ini, intelek paling ramai.

“Penglibatan golongan intelek dalam persatuan menggembirakan kami dan berharap ia terus mendapat sambutan golongan itu agar seni silat cekak mampu berkembang meluas,” katanya.

Menurutnya, kesemua ahli berdaftar di bawah persatuan kini adalah 1,300 orang termasuk 300 yang aktif.

“Kami akan terus membuat pengambilan ahli baru dari masa ke masa agar jumlah kemasukan dapat diseimbangkan,” katanya.

Berita penuh di http://www.sinarharian.com.my/terengganu/content/story8216285.asp