PERUTUSAN YM GURU UTAMA DAN PRESIDEN
SEMPENA BULAN RAMADHAN 1432H


( Video ucapan di sini … )

Assalamualaikum wbrkth
Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdu Lillahi Robbil A’lamin, Wassola tuwassalamu A’la asrafil anbia iwal mursalin, Wa’ala A’lihi Wasohbihi ajmain , 
Wabihi Nastai’in, La H’aula Wala Quwwata Illa Billahil A’liyil A’zim…

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan kehendakNya dan izinNya, dengan kurnia Allah SWT, dengan syafaat kekasihNya Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, dengan berkat guru-guru kita, dengan keramah dan hikmah kedua ibu dan bapa kita, maka dapat kita bertemu kembali bulan yang penuh rahmat dan keberkatan dari Allah swt iaitu bulan Ramadhan pada tahun ini 1432 Hijrah.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas Rahmat dan Kurnia Allah SWT kepada persatuan kita yang telah dapat melaksanakan pelbagai aktiviti dengan jayanya. Ini adalah berkat kerjasama; bersama dan bersatu dari seluruh ahli-ahli  Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

Ketibaan bulan Ramadhan, menyeru seluruh umat Islam di dunia serentak mengerjakan ibadah puasa. Faedah diwajibkan kita berpuasa adalah terlalu banyak. Sudah pasti apa yang diperintahkan oleh Allah SWT mempunyai  kelebihannya samada kita ketahui atau tidak.

Antara kelebihan bulan Ramadhan ialah pintu syurga dibuka, ditutup pula pintu-pintu neraka dan dirantaikan pula syaitan. Maka pada bulan ramadhan yang mulia ini telah berlakunya beberapa sejarah Islam di antaranya adalah turunnya al-Quran yang merupakan kitab suci umat Islam.
Kelahiran Silat Cekak juga berlaku di bulan Ramadhan iaitu pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965.

Marilah kita bersama-sama megimarakkan bulan Ramadhan ini dengan beribadat kepada Allah swt Laksanakanlah ibadah puasa ini bersungguh-sungguh dengan satu niat iaitu kerana Allah swt. Di mana Almarhum Ust Hj Hanafi pernah berpesan kepada kita; “Jadikanlah  puasa itu sebagai ibadat dan jangan jadikan ianya sebagai adat”. Moga moga amalan berpuasa dapat melatih diri kita taat kepada Allah SWT.

Kesempatan ini, saya selaku Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia mengucapkan “Selamat melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan”. Perbanyakkanlah memohon keampunan kepada Allah swt agar Allah swt mengampunkan segala dosa-dosa kita. 

Sekian terimakasih dan selamat berpuasa.
Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum wbrkth.

( Video ucapan di sini … )