Allahu Akbar,  Allahu Akbar, Allahu Akbar, lailahaillah lailahaillah Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd

Assalamualaikum WBT

AlhamduLillah, Bersyukur kita kepada Allah SWT, kerana dengan limpah kurniaNYA, juga dengan berkat dan syafaat KekasihNya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dan dengan berkat guru-guru kita, serta dengan karomah dan hikmah kedua ibubapa kita, maka kita sekali lagi dipertemukan dengan 1 Syawal.

Di kesempatan ini, saya Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), serta isteri, ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri , Maaf Zahir & Batin kepada seluruh ahli  Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan kepada semua umat Islam di seluruh dunia.

Alhamdulillah, selama sebulan Ramadhan kita telah menahan diri berlapar dan dahaga dengan penuh kesabaran, dan ketaatan bagi memenuhi tuntutan serta syarat rukun Islam yang diperintahkan.

Sesungguhnya, semua tuntutan dan ujian tersebut adalah bertujuan untuk mengembalikan semula diri kita, kepada fitrah asal manusia.

Manusia itu secara fitrahnya, dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih jiwanya, serta cenderung ke arah kebaikan.

Aidilfitri itu sendiri merujuk kepada hari raya fitrah, yakni meraikan kejayaan kita mensucikan diri kembali kepada fitrah.

Maka titik permulaan Syawal ini seharusnya kita mulakan dengan perasaan syukur kita kepada Allah SWT dengan cara kita bertakbir, bertahmid dan bertasbih sempena meraikan kejayaan kita dalam melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan, seterusnya dengan menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri sebagai rasa terima kasih dan bersyukur kita kepada Allah SWT.

Sempena bulan yang mulia ini, bersama-samalah kita mengambil peluang dan kesempatan ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bertemu ibu dan bapa, keluarga dan sahabat handai. Mohonlah keampunan dan restu dari kedua ibu dan bapa yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada kita.

Bagi ahli-ahli yang akan melalui perjalanan jauh, pandulah dengan cermat dan berhati-hati, semoga akan sampai ke destinasi dengan selamat.

Di kesempatan ini juga, saya ingin menjemput seluruh ahli PSSCM dan keluarga yang berada di mana jua untuk hadir ke Dewan Datuk Haji Maideen, Seremban pada hari Sabtu bersamaan 30 Jun 2018 bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri Guru Utama dan Presiden serta Ahli-ahli PSSCM.

Sambutan tersebut akan diserikan lagi dengan acara ‘Cekak Fun Run’, berbentuk mini marathon pada sebelah siang.

Manakala sambutan jamuan hari raya akan diadakan di sebelah malam.

Dalam kesempatan ini, saya dan isteri serta keluarga, dengan rasa rendah diri menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas kesilapan yang telah kami lakukan samada yang zahir mahupun yang batin.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum WBT.

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Maaf Zahir dan Batin

 

DATUK HAJI MAIDEEN BIN KADIR SHAH
Guru Utama & Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)

1 Syawal 1439H