Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan kehendak dan izinNya serta berkat dan syafaat Rasullullah saw, berkat dan karamah kedua ibubapa kita, maka pada tahun ini kita dapat menyambut Hari Kemerdekaan negara kita Malaysia yang kita cintai kali ke-57.

Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini mungkin ada sedikit berita yang kurang menggembirakan bagi kita semua rakyat Malaysia. Beberapa kemalangan yang telah berlaku sepertimana yang kita ketahui iaitu serangan penceroboh di Lahad Datu, kehilangan MH370 dan kemalangan MH17. Kita anggaplah semua peristiwa yang berlaku ini sebagai suatu dugaan serta cabaran bagi kita semua. PSSCM ingin merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan tersebut dan ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana telah berjaya dengan cemerlangnya bagi menyelesaikan segala musibah tersebut. Usaha serta komitmen kerajaan Malaysia dalam menangani isu tersebut amat membanggakan kami sebagai rakyat Malaysia.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua agar menghargai kemerdekaan yang kita kecapi ini. Di negara bertuah ini kita dapat hidup dengan aman dan bahagia, tidak seperti negara-negara lain yang ada di sekeliling kita seperti di Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq dan lain-lain yang rakyatnya hidup dalam huru hara dan ketakutan. Bersama-samalah kita bersatu mempertahankan kemerdekaan yang telah kecapi selama 57 tahun ini. Tanamkanlah rasa cinta kita kepada negara kita Malaysia.

Selamat Hari Merdeka Malaysia, tanah tumpah darah kita. “Di sini lahirnya sebuah cinta”.

Merdeka, Merdeka, Merdeka.   

 

Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah
Guru Utama & Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
31 Ogos 2014