Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, dengan kurniaNya serta dengan syafaat kekasihNya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dengan berkat guru-guru kita serta karamah dan hikmah kedua ibubapa kita maka dapat kita bertemu semula bulan Ramadhan yang penuh keberkatan pada tahun ini.
Sabda Rasulullah saw.:
“Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan.”
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita dapat mempertingkatkan amalan kita agar kita sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT. Ruang dan masa yang ada di bulan yang mulia ini kita gunakanlah sebaik-baiknya dan jangan ianya disia-siakan. Bulan yang mulia ini datang kepada kita sekali sahaja dalam setahun.
Perbanyakkanlah meminta ampun kepada Allah SWT yang Maha Pengampun di atas segala dosa yang kita lakukan. Perbanyakkanlah selawat kepada Nabi Junjungan Nabi Muhammad SAW sepertimana pelbagai selawat yang telah diajarkanlah guru-guru kita agar kita mendapat syafaat daripada Rasullullah SAW. Disamping itu ambillah kesempatan untuk perbanyakkan membaca Al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain di bulan Ramadhan seperti solat tarawikh dan sebagainya.
Sabda Rasulullah saw:
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.”
Saya doakan ahli-ahli PSSCM di seluruh negara sentiasa mendapat keredhaan dan keberkatan sempena bulan Ramadhan ini dan dapat beramal dengan ikhlas kepada Allah SWT.
Sekian, Wasalam
Datuk Haji Maideen Kadir Shah
Guru Utama & Presiden PSSCM