Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Lailaha Illallah Wallahu Akbar. Allahu Akbar Walillahil Hamd

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurniaNya, dengan berkat dan syafaat Nabi Junjungan Besar Nabi Muhammad saw., dengan berkat guru-guru kita serta keramah dan hikmah kedua ibubapa kita, maka dapat kita bertemu serta menyambut Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini 1432 Hijrah.

Hari Raya Aidil Adha atau dinamakan Hari Raya Korban berkait dengan ibadah haji iaitu rukun Islam yang kelima iaitu pelengkap bagi rukun Islam. Banyak peristiwa yang berlaku sempena Aidil Adha ini di zaman Nabi Ibrahim dan di antaranya ialah peristiwa syaitan direjam oleh Nabi Ibrahim di Aqabah dan peristiwa korban Nabi Ismail yang digantikan dengan kibas. Semuanya berlaku untuk pendoman kita, agar kita dapat menghayati bagaimana kukuhnya iman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kita dapat melihat bagaimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, begitu juga peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam sejarah para nabi khususnya ulul ‘azmi. Mereka diuji dengan pelbagai dugaaan dan rintangan serta cabaran untuk mempertahankan iman dan menghambakan diri kepada Allah swt. Kejayaan mereka ini adalah kerana mereka mempunyai keimanan yang kukuh dan mereka berserah hanya kepada Allah swt.

Kita harus mengambil peristiwa-peristiwa tersebut agar kita hayati serta menjadikan pendoman dan panduan dalam hidup kita. Perjalanan Silat Cekak ini juga penuh dengan dugaan dan rintangan serta cabaran yang perlu kita lalui untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah swt. Silat Cekak merupakan satu perjuangan, dan sudah pasti setiap perjuangan harus ada pengorbanan. Maka kita korbankanlah jiwa kita, tenaga kita, masa kita, wang ringgit serta idea kita bagi sama-sama kita mendaulatkan PSSCM demi agama, bangsa dan negara.

Sempena Hari Raya Aidil Adha ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Beribadah kepada ahli-ahli PSSCM yang menunaikan fardhu haji pada tahun ini dan saya doakan agar mendapat haji yang mabrur. Kepada ahli-ahli PSSCM yang menunaikan ibadah korban agar Allah swt menerima ibadah korban tersebut. Perbanyakkanlah beribadah sempena bulan yang mulia ini seperti memohon keampunan Allah swt serta perbanyakkanlah selawat kepada Nabi Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

 

DATUK HAJI MAIDEEN BIN KADIR SHAH
Guru Utama & Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
10 Zulhijjah 1432H