Brigadier Jeneral Prof. Datuk Dr. Kamarudin Husin (PJN, DPMP, DPSJ, AMP) 

Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP

Brigadier Jeneral Prof. Datuk Dr. Kamarudin Husin (PJN, DPMP, DPSJ, AMP) merupakan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang pertama. Beliau telah bersara dari jawatan tersebut pada Februari 2016 dan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP sejak Oktober 2018. Beliau dilahirkan di Pudu, Kuala Lumpur pada tanggal 10 Februari 1955. Atas ikatan kasih saying, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Noridah Yangman pada 4 Jun 1978 dan hasil perkongsian hidup selama lebih 36 tahun, mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata. Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Husin mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pasar Road dan Sekolah Rendah Kampung Pandan.

Beliau meneruskan zaman persekolahannya di Sekolah Menengah Aminuddin Baki dan seterusnya menamatkan zaman persekolahannya di Sekolah Menengah Alam Shah. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Peringkat Ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Kimia pada tahun 1979 dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Elektrokimia pada tahun 1982 di universiti yang sama. Pada tahun 1993, beliau meneruskan pengajian di Peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam program kerjasama antara USM dengan Kalgoorlie School of Mines, Australia dalam bidang Kejuruteraan bahan (Metalurgi Pengekstrakan).

Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Husin memulakan kerjayanya sebagai Pensyarah Pusat Pengajian Kimia di USM dan dalam tempoh tersebut, beliau dilantik sebagai Pengerusi Rancangan Kimia di Pusat Matrikulasi USM. Pada tahun 1985, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Husin bersama beberapa rakan pensyarah yang lain telah membangunkan Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Sumber Mineral di USM serta di USM Cawangan Perak. Pusat pengajian ini memberi tumpuan penuh kepada program-program pengajian kejuruteraan. Sepanjang perkhidmatannya di USM, beliau diberi tanggungjawab untuk mentadbir pelajar serta universiti itu sendiri, antaranya Penggawa (pengurus asrama), Pengarah Kampus Kejuruteraan, Rektor di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia serta Naib Canselor UniMAP.

Pada 20 September 2014, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Husin telah menerima Anugerah Parang Lading, Anugerah Tertinggi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), yang disampaikan oleh Yang Mulia Guru Utama Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Guru Utama merangkap Presiden PSSCM. Beliau juga dianugerahkan Panglima Jasa Negara (PJN) dan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (DPMP) – 2013, Darjah Paduka Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) – 2004 dan Ahli Mahkota Perak (AMP) – 1998