Alhamdulillah…

Syabas & Tahniah diucapkan kepada YM Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Guru Utama & Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia kerana telah terpilih untuk dimuatkan dalam keluaran edisi khas The Edge sebagai antara 100 individu yang menyumbangkan peranan dan mencorakkan kepelbagaian di kota metropolitan Kuala Lumpur untuk siaran akhbarnya sempena Hari Wilayah Persekutuan 1 Februari 2020.

Daripada Barisan Kepimpinan Persatuan serta seluruh warga Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

Terjemahan dari artikel yang disiarkan..

“Susur galur Silat Cekak boleh dijejaki dari zaman Penglima Ismail semasa zaman kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II. Selepas seabad silat ini kemudiannya diperkenalkan semula di Kuala Lumpur oleh Almarhum Ustaz Hanafi Ahmad, iaitu pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) pada 1965. Pada tahun 2009, saya telah mengambil alih tampuk kepimpinan sebagai presiden PSSCM. Silat Cekak mempunyai teknik yang unik dan tersendiri berbanding seni beladiri yang lain. Silat Cekak lebih menekankan kepada mempertahankan diri apabila diserang oleh lawan dan ia amat sesuai sekali untuk menjaga diri. Pendidikan dalam Seni Silat Cekak bukan bertujuan untuk bergaduh mahupun menunjuk-nunjuk kehandalan diri. Semua teknik pergerakan dalam Seni Silat Cekak merupakan pergerakan tetap dan tidak berubah-ubah berdasarkan kepada empat huruf yang membantu pengamalnya menjangka dan menilai pergerakan anggota tubuh musuh dalam menghadapi serangan. Falsafah dalam Seni Silat Cekak juga amat menekankan kepada pembangunan modal insan dan jati diri dalam mendidik setiap individu.

Sejak zaman Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Seni Silat Cekak telah tersebar ke seluruh tanah air. Kini, bangunan Silat Cekak di Sentul menjadi pusat utama segala aktiviti PSSCM. Hasil dedikasi ahli-ahli telah membolehkan persatuan dan aktiviti ditadbir urus dengan cemerlang walaupun PSSCM bukanlah sebuah persatuan yang berasaskan keuntungan. Kami juga sudah mula mengembangkan ilmu silat ke pusat-pusat pengajian tinggi. Terkini seni silat telah dianugerahkan status Warisan Budaya Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage) daripada UNESCO. Misi PSSCM pada masa hadapan khususnya di Kuala Lumpur dan di peringkat kebangsaan amnya, adalah untuk memberikan lebih tumpuan dalam memastikan budaya kita dapat dipertahankan serta terus kekal sepanjang zaman seperti kata pepatah Melayu ‘Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Tanpa budaya, nilai bangsa akan hilang dan tidak bermakna. Inilah yang kami terapkan dalam pembelajaran Seni Silat Cekak”.

BERANI || AMANAH || INTEGRITI