3 JUN 2011, Melaka – Bertempat di Naning Ballroom Hotel Seri Malaysia, Air Keroh Melaka, telah diadakan Persidangan Tahunan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia Kali ke-12. Persidangan pada jam 3.00 petang tersebut telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden Pesaka Malaysia.
Seramai 70 orang perwakilan terdiri dari Dewan Perguruan Pesaka, 4 Pendiri Pesaka dan 13 Gabungan Pesaka Negeri hadir sebagai perwakilan. Turut hadir termasuk YM Guru Utama dan Presiden PSSCM YM Datuk Haji Maideen bin Kadirshah merangkap Ahli Dewan Perguruan Pesaka. Perwakilan PSSCM terdiri dari Sdr. Sham bin Ghani, Mohd. Hafiz bin Jamil, Faizal bin Mohd. Yusof dan Zaini bin Marzuki.
Persidangan dimulakan dengan bacaan doa oleh YB Datuk Haji Yaakub Bin Md. Amin diikuti dengan ucapan perasmian oleh Presiden Pesaka. Agenda mengesahkan Minit Persidangan Tahunan Pesaka ke-11 dan membentangkan serta menerima Laporan Tahunan dan Laporan Kewangan Pesaka 2010. Terdapat 5 usul yang dibentangkan dan hanya 4 usul sahaja yang diluluskan termasuk usul dari JK Pusat Pesaka Kebangsaan;
a. Bahawa Persatuan – persatuan Silat yang berdaftar dibawah Akta tersebut ( Akta Pembangunan Sukan 1997 ) dipindahkan pendaftarannya daripada Akta tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan dibawah Akta Pertubuhan 1996 dan kesemua persatuan-persatuan silat yang dipindahkan pendaftarnya dikecualikan dari didaftarkan di bawah Akta tersebut.
b. Bahawa memandangkan Pesaka Kebangsaan, Pesaka Negeri dan Pesaka Daerah adalah satu badan yang mengawal selia dan menganjurkan Silat Olahraga, maka Pendaftaran ketiga-tiga badan ini hendaklah dikekalkan di bawah Akta tersebut selaras dengan aktiviti Silat Olahraga yang termaktub di bawah Jadual Pertama Akta tersebut.
Pada jam 6.30 petang, Persidangan Tahunan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia telah selesai dengan sempurna dan ditangguhkan pada tahun hadapan.
(Sumber dari Jabatan Penerangan PSSCM)